Petua Berubah

146

IMAM Al-Ghazali Rahimahullah berpesan, “Air yang mengalir akan sentiasa jernih, manakala air yang tertakung akan kotor dan berkeladak”. Pesan itu menjadi pemula bicara Ustaz Pahrol Mohd Juoi Rabu lalu menerusi program Islam Itu Indah di IKIMfm hari Rabu lepas. Bicara tentang amal yang sifatnya bergerak. Umat Islam dikatakan berjaya kerana umat Islam menerajui perubahan. Ajakan untuk menuju kejayaan sekurang-kurangnya akan dilaungkan sepuluh kali sehari melalui azan dan iqamah. Pabila diajak menuju kejayaan ia menunjukkan berlakunya pergerakan, akibat daripada pergerakan pasti akan wujud perubahan dan asbab perubahan yang membawa kepada kejayaan.

Fitrah air itu sifatnya bergerak dan berubah. Dinisbahkan, jika meletakkan kaki pada air yang mengalir, diangkat dan kemudiannya diletakkan kaki tersebut kembali, sudah tentu tidak akan memijak pada molikul air yang sama kerana sifat air yang sentiasa bergerak.

Itu tamsilan bagi memperoleh kejayaan, perlu kepada pergerakkan dari zon selesa kepada zon yang mencabar. Seumpama bayi yang tercipta begitu aktif bergerak. Menerusi pergerakkan-pergerakkan itulah, bayi tersebut kenal erti meniarap, merangkak, bertatih yang membawa kepada berjalan, melompat dan seterusnya gerak-gerak lain yang lebih mencabar dan sukar. Ironinya, sifat bayi sentiasa bergerak dan tidak kenal erti letih. Sering didengar tentang ungkapan, “ orang yang berjaya adalah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam, manakala orang yang rugi apabila hari ininya sama seperti semalam dan orang yang celaka adalah apabila hari ininya lebih buruk daripada semalam”.

Maha Suci Allah telah menjadikan orang Islam merupakan umat yang berjaya kerana sentiasa berubah dan menerajui perubahan. Antara elemen yang perlu perubahan yang pertama adalah taqwa kepada Allah SWT. Semakin hari semakin bertambah taqwa kepadaNya. Kedua, akhlak sesama manusia; semakin lama semakin berakhlak dan ketiga iaitu itqan yang membawa kepada mengelokkan kerja, jawatan, tanggungjawab dan peranan dengan bersungguh-sungguh. Ketiga-tiga elemen inilah yang perlukan perubahan-perubahan kea rah yang lebih baik.

Bagi memudahkan usaha untuk berubah ini, ustaz Pahrol meminjamkan tips dan petua untuk melakukan anjakan bersandarkan kepada sunatullah (law of nature). Dengan akronim 3S dan 2I iaitu ubah sendiri (diri sendiri) dengan sedikit-sedikit dan sekarang dengan ikhlas dan istiqamah.

Perubahan dimulakan dengan sendiri iaitu diri sendiri terlebih dahulu. Dalam prinsip berdakwah, selalu ditekankan untuk memperbaiki diri dan serulah orang lain. Dinyatakan oleh ahli psikologi; terdapat dua bulatan dalam kehidupan iaitu lingkungan yang boleh dikawal (circle of influence) dan sesuatu yang berada diluar lingkungan kawalan (circle of concern). Untuk berjaya, beri fokus kepada kitaran yang boleh dikawal iaitu diri sendiri termasuk pemikiran, rasa hati, amalan perbuatan dan lain-lain yang berkaitan dengan diri sendiri. Usah duduk di dalam pengaruh luar diri yang tidak boleh dikawal oleh diri sendiri. Contohnya; kesesakkan lalulintas tidak boleh dikawal oleh diri tetapi kawalan diri boleh dilakukan supaya tidak turut sesak sepertimana sesaknya lalulintas itu. Percayalah, setelah berjaya mengubah keupayaan diri, barulah kuasa dan pengaruh diri untuk mengubah orang lain menjadi besar.

Pemimpin yang punya pengaruh, dia telah berjaya mengubah dirinya sendiri sebelum berjaya mengubah orang lain. Kadangkala, hidup akan jadi tertekan, kecewa dan putus asa akibat mengaplikasikan modus operandi songsang iaitu dengan mencuba mengubah suasana atau orang lain terlebih dahulu yang jauh daripada upaya untuk mengubahnya. Sebab itu untuk lapang dan mengharmonikan keadaaan belajarlah untuk mengawal diri sendiri dalam apa jua situasi dan kondisi. Walaupun proses untuk megubah diri itu susah, sukar dan payah namun itu lebih senang dan mudah berbanding keupayaan untuk mengubah orang lain. Sewajarnya, kesukaran dalam mendidik diri menimbulkan kesabaran dalam mendidik orang lain. Bantu diri untuk lakukan apa yang mampu dibuat, In Sha Allah bantuan Allah akan datang untuk membantu apa yang tidak mampu untuk diri itu lakukan.

‘S’ kedua ialah sedikit-sedikit. Dalam berubah tiada istilah gopoh dan gelojoh. Sebagai analoginya; jika ingin mengoyakkan satu buku yang tebal mustahil untuk mengoyakkannya sekaligus tetapi ia mampu terlaksana jika mengoyakkan helaian demi helaian. Bak kata orang tua-tua yang arif dengan prinsip perubahan ini, “Kalau nasi panas, makan tepi-tepi dahulu dan sedikit-sedikit”. Sesungguhnya, meruntuh itu sekelip mata tetapi membina mengambil masa. Berubah bererti membina dan melalui proses berdikit-dikit contohnya; untuk mengubah diri perlu kepada mengubah hati yang berpunca daripada mengubah solat yang pastinya tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Sepatutnya untuk mengubah diri dan hati melalui solat perlu sedikit demi sedikit dengan mengelokkan solat wajib dengan mencantikkan wuduk secara khusyuk dan penuh penghayatan kemudian menepati waktu solat. Ia diikuti solat berjamaah sebelum menjurus kepada solat-solat sunat seperti solat tahajjud dan sebagainya. Ia lebih berkesan daripada terus melaksanakan solat-solat sunat secara mendadak yang akan mengundang letih dan jemu serta jauh daripada istiqomah.

‘S’ yang terakhir adalah sekarang, serta-merta tanpa bertangguh (the power of now). Kecenderungan untuk melengahkan tindakan adalah apabila perkara tersebut tidak disukai. Berubah kepada kebaikan sememangnya sukar dan menentang hawa nafsu. Dalam kehidupan selalunya akan bertembung dengan perkara-perkara yang kena dilakukan dan perkara-perkara yang suka dilakukan. Untuk berjaya perlu lakukan apa yang perlu dibuat walau tidak suka dibuat. Adakah sukar untuk tidak bertangguh? Jawabnya tidak sukar jika kembali kepada prinsip kedua dan pertama iaitu sedikit-sedikit dan lebih tidak sukar jika ianya dilakukan dengan diri sendiri. Oleh itu, saat azam dan semangat berkobar-kobar segeralah lakukan perubahan.

Madrasah Ramadan antara lapangan mendidik diri dalam mengaplikasikan elemen 3S ini. Tatkala merayakan kejayaan Ramadan, cukuplah sehari sebelum terus disulam dengan puasa di hari kedua Syawal supaya apa jua yang dipelajari sepanjang Ramadan terus melekat di dalam diri. Sungguh seperti kata bidalan, “kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan”. Justeru, sebelum halangan menjadi besar eloklah setiap perubahan yang ingin dilakukan atau yang sedang berjinak-jinak dengannya dikerjakan dengan segera dan konsisten.

Lakukanlah perubahan dengan istiqomah. Untuk membentuk tabiat dan kebiasaan, laksanakan sesuatu secara berterusan untuk 40 hari. Rasulullah SAW berpesan sabdanya, “Amal yang baik itu adalah amalan yang sedikit tetapi istiqomah”. Elemen terakhir dalam apa jua amalan adalah ikhlas. Sesungguhnya, orang pertama yang mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukan kebaikan itu walaupun kebaikan itu dinuat untuk orang lain. Semoga mampu berubah kerana Allah bukan kerana yang lain.

Kami Sangat Hargai Sokongan Anda

Aplikasi Iyyaka sebagai wasilah mendekatkan diri kepada Allah melalui teknologi demi meraih Rahmat dan Redha Allah swt.